Sunday, January 3, 2010

ISU GUNA NAMA ALLAH

Agak lama juga saya tidak bersuara dalam blog ini. Maklumlah sibuk dengan tugasan harian dsb. (alasan..hehehe). Sejak kebelakangan ini nampaknya isu penggunaan nama Allah oleh penganut bukan Islam seperti Kristian dsb telah menjadi satu isu besar dan cuba diperbesar-besarkan oleh UMNO dan golongan yang cuba mengambil kesempatan dalam suasana rakyat ketika ini dihimpit oleh pelbagai masalah kehidupan seharian disamping isu-isu nasional yg membebani UMNO/BN. Dengan hadirnya isu ini sekurang-kurangnya rakyat diharap tidak lagi memikirkan tentang kenaikan harga barangan keperluan harian, juga diharap dapat melupakan isu-isu nasional seperti kehilangan enjin jet pejuang, pembunuhan Beng Hock dsb. Bukankah Melayu mudah lupa?

Saya tidak nak mengulas panjang-panjang. Isu ini sangat mudah. Bukannya susah pun. Saya bukannya ustaz, tapi saya mengaji dari ustaz-ustaz yang saya yakin dengan ke'alimannya.

Pertama; Tiada nas yg melarang penggunaan nama Allah dalam mana-mana kitab muktabar.
Kalau ada sila kemukakan.

Kedua; Memang sejak lama dahulu org2 bukan Islam mengakui kewujudan Allah dan ini disebut dlm firman Allah yang bermaksud, Jika sekiranya ditanya kepada mereka siapakah yang menjadikan bumi dan alam semesta ini, nescaya mereka semua menjawab Allah!. Jika alasan mereka tak pernah menggunakan nama Allah di Malaysia dijadikan hujjah, bukan bermakna mereka tidak pernah menggunakannya di lain-lain negara. Dalam kitab-kitab Injil pun ada menyebut nama Allah. Orang Hindu pun ada kata itu kerja Tuhan Alla...

Ketiga; Jika alasan mengatakan Allah yang difahami oleh orang Kristian tidak sama dengan Allah yg orang Islam fahami, maka itu sudah kita maklumi kerana mereka mempercayai Allah dari segi Allah menciptakan bumi, langit dan alam seisinya tetapi mereka mensyirikan Allah(menduakan/menyegutukan Allah) dengan mengambil tuhan-tuhan yang lain untuk disembah.

Sepatutnya pemimpin PAS menjawab isu ini dengan hujjah yg simple dan meyakinkan. Saya bimbang jika nanti kita sendiri yg menyempitkan agama Islam ini. Mungkin nanti penggunaan perkataan "syurga dan neraka" pun tidak dibolehkan dengan alasan itu adalah perkataan Islam dan dibimbangi akan terseleweng aqidah ummat Islam jika dibenarkan penggunaannya oleh penganut bukan Islam. Padahal kita semua tahu syurga dan neraka yg difahami oleh bukan Islam dan penganut Islam adalah jauh sama sekali berbeza sepertimana nama Allah yg difahami oleh bukan Islam dan penganut Islam sudah tentu berbeza sama sekali dari segi aqidahnya. Walaupun berbeza tetapi tidaklah dilarang pengunaan tersebut kerana masing-masing penganut mempercayai kalimah tersebut mengikut kefahaman agama masing-masing.

Sepatutnya pemimpin PAS menghalakan peluru kepada UMNO dalam isu ini kerana;
Pertama; Pemimpin UMNO sendiri mempercayai Allah s.w.t. yang menjadikan alam ini tetapi pemimpin UMNO sendiri tidak mahu untuk menjalankan undang-undang Islam malah menentangnya pula! Rasanya tidak perlu saya mengemukakan bukti-bukti UMNO menentang Islam kerana ianya sudah menjadi perkara yg telah diketahui umum.

Tidakkah watak ini sama seperti org2 Yahudi dan Nasrani yang mempercayai Allah yang menjadikan alam semesta ini tetapi tidak mahu beriman dengan hukum-hukum Islam yang dibawa oleh para Rasul dan Nabi? UMNO janganlah cuba menjadi hero dalam isu nama Allah, kerana hero sangatkan UMNO dalam memperjuangkan undang-undang Islam? Dengar nama HUDUD pun sudah gerun, apatahlagi kalau dilaksanakan hukum-hukumNya. Kalau sekadar menyebut nama Allah tetapi tidak beriman dengan hukum-hukumNya, maka apa bezanya UMNO dengan penganut Kristian yang juga menyebut nama Allah tetapi tidak beriman dengan hukum-hukum dan peraturan-peraturan yg terkandung dalam kitab-kitab Allah? Tepuk dada tanya iman!

PAS diharap tidak terperangkap dalam isu ini. Jangan jadi kuda tunggangan UMNO ketika UMNO susah atau senang! UMNO hanya sekadar memperjuangkan nama Allah sahaja tetapi pada masa yg sama mengabaikan malah menentang hukum-hukum dan perintah Allah. Itu yg sepatutnya didedahkan kepada masyarakat melayu Islam supaya mereka sedar tentang kepura-puraan UMNO dlm menegakkan Islam.

PAS mesti menunjukkan sifat Islam for All, bukan sekadar PAS for All. Mesti dibuktikan dan ditunjukkan dalam amalan dan penghayatan seharian. Jika rakyat bukan Islam tidak dapat melihat kebaikan Islam, maka jangan salahkan mereka kerana meraka tidak tahu. Tetapi mesti salahkan diri sendiri kerana tidak memberikan kefahaman yg jelas dan tepat tentang Islam yg sebenarnya sepertimana yg dibawa oleh RasululLah s.a.w. sehingga piagam Madinah dapat diterima oleh seluruh penduduk Madinah sedangkan umum mengetahui golongan Islam adalah golongan minoriti dalam negeri tersebut. Buktikan dengan amalan dan jangan terperangkap dengan perkauman sempit UMNO! Inilah masanya Pakatan Rakyat membuktikannya melalui kerajaan negeri yg diperintah oleh mereka.

Saya percaya isu ini akan digunakan semaksimum mungkin untuk menunjukkan UMNO adalah hero Islam yang sebenarnya. Malah mungkin lebih banyak demonstrasi-demonstrasi akan dianjurkan oleh badan-badan tertentu didalangi oleh UMNO. Kemungkinan juga Raja-Raja Melayu akan turut diseret bersama dalam isu ini. Para mufti juga mungkin dipaksa untuk menyatakan pendirian yg telah ditetapkan oleh UMNO bukan lagi mengikut kacamata Islam yg sebenarnya.

PAS mesti menunjukkan kesepaduan kenyataan dan pendiriannya! Jangan terpengaruh dengan sentimen semata-mata. Letakkan KEBENARAN mengatasi sentimen apatah lagi sentimen perkauman yang cuba dibawa oleh UMNO dan agen-agennya!

No comments:

Post a Comment